Saturday, February 7, 2009

Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi - Utusan Malaysia 06th February 2009

KUALA LUMPUR 6 Feb - Harga saham di Bursa Malaysia memperlihatkan peningkatan pada penutupan dagangan hari ini, sejajar dengan aliran meningkat dalam pasaran-pasaran serantau didorong oleh kenaikan di Wall Street semalaman, kata peniaga.
Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ditutup 16.69 mata lebih tinggi pada 896.64 berikutan kenaikan di kaunter-kaunter berkaitan perladangan dan perbankan. Ia dibuka 5.17 mata lebih tinggi pada 885.12.
Saham Hong Kong naik tiga peratus, Indeks Harga Saham Komposit Korea meningkat 2.75 peratus kepada 1,210.26 mata, iaitu paras penutupan tertinggi sejak 7 Januari, manakala Nikkei Jepun mengukuh 1.6 peratus.
Dalam pasaran tempatan, pengumuman “bajet mini” oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga meningkatkan sentimen pasaran.
Indeks Perusahaan naik 42.69 mata kepada 2,107.10, Indeks Kewangan meningkat 141.57 mata kepada 7,124.64 dan Indeks Perladangan menambah 150.93 mata kepada 4,549.51.
FBMEmas 111.75 mata lebih tinggi pada 5,871.13, FBM30 naik 119.77 mata kepada 5,794.02, FBMMesdaq turun 20.13 mata kepada 3,375.45 dan FBM2BRD meningkat 18.29 mata kepada 3,925.11.
Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 322 berbanding 156, manakala 195 kaunter tidak berubah, 584 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung urus niaga.
Jumlah dagangan bertambah kepada 397.698 juta saham bernilai RM664.159 juta daripada 315.914 juta saham bernilai RM466.514 juta semalam. Bagi saham berwajaran tinggi, Sime Darby meningkat 20 sen kepada RM5.60, Maybank naik lima sen kepada RM5.45 dan Tenaga kekal pada RM5.75. Jumlah dagangan di Papan Utama bertambah kepada 332.425 juta saham bernilai RM648.070 juta daripada 238.491 juta saham bernilai RM455.383 juta semalam.
Di Papan Kedua jumlah dagangan meningkat kepada 30.006 juta saham bernilai RM8.118 juta daripada 16.664 juta saham bernilai RM4.146 juta.
Pasaran Mesdaq mencatatkan pertambahan jumlah dagangan kepada 20.599 juta saham bernilai RM6.255 juta daripada 15.332 juta saham bernilai RM4.404 juta.
Waran, bagaimanapun, susut jumlahnya kepada 13.250 juta saham bernilai RM1.186 juta daripada 44.718 juta saham bernilai RM2.241 juta sebelumnya.
Berdasarkan sektor, barangan pengguna menguasai 5.297 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, barangan perusahaan 50.740 juta, pembinaan 34.867 juta, perdagangan/perkhidmatan 114.639 juta, teknologi 4.658 juta, prasarana 12.943 juta, kewangan 29.658 juta, hotel 3.406 juta, harta 50.941 juta, perladangan 23.696 juta, perlombongan tiada, REIT 1.535 juta dan dana tertutup 44,900. - Bernama

No comments: